Wednesday, December 30, 2009

HIDUP BERANI UNTUK GAGAL

This entry is for contest "HIDUP BERANI UNTUK GAGAL". Aku dapat tau pasal contest ni daripada www.fztogether.blogspot.com ketika tengah tengok web nuffnang-innit. Peraduan ini ditaja oleh DSGClicks, Berani Gagal Network, One Malaysia Blogshops, Anisha Online Mall dan Saudacare. Peraduan ini terbuka kepada semua orang, tetapi kena ada web blog la. So, tunggu aper lagi, jom la hantar entri!

Ok, memulakan bicara,kehidupan kita ibarat putaran roda. Bukan artis jer yang selalu cakap macam tu, malah semua orang di dunia ini akan berkata macam tu sebagai ingatan terhadap diri sendiri dan orang lain. Maksudnya setiap kebahagiaan tidak akan berterusan bahagianya, setiap penderitaan tidak bererti tamatnya hidup kerana itulah lumrah kehidupan, sentiasa berubah-ubah selari dengan kehendak manusia itu sendiri. Kalau nak berjaya mestilah kena ada usaha, kan?Perlu diingat "Tuhan tidak sesekali mengubah nasib seseorang itu melainkan manusia itu sendiri berusaha mengubah nasibnya".

Aku juga tidak terlepas daripada melalui liku-liku kehidupan. Dua puluh lapan tahun hidup di dunia ini belum mampu memberikan segala yang aku impikan.Ya, kejayaan!Kejayaan dalam membina kehidupan sendiri.

Ketika zaman persekolahan lagi aku telah menetapkan pendirian hidup ini perlu berani untuk gagal. Kegagalan pertama adalah ketika aku mendapat keputusan PMR yang mengecewakan. Ketika itu aku memang lalai mentelaah pelajaran walaupun tinggal di asrama. Keputusan itu menyebabkan aku tidak lagi berada dalam kelas pertama di sekolah. Aku sangat kecewa dengan keputusan itu sehinggakan malu untuk memberitahu keluarga. Namun, walaupun bertukar ke kelas lain, aku yakin aku mampu untuk bangkit semula untuk mencapai kejayaan dalam SPM. Semua pelajar dalam kelas pertama adalah pendorong semangatku. Apabila melihat mereka, aku berazam untuk berjaya seperti mereka. Hasilnya aku berjaya mendapat Gred 1 di dalam SPM!

Semasa melanjutkan pelajaran di universiti, setiap pelajar perlu membuat kajian untuk dua semester terakhir. Aku memilih untuk membuat kajian tentang genetik. Kajian tersebut memerlukan aku sentiasa bereksperimen untuk mendapatkan hasil yang terbaik. Sangat rumit dan perlukan ketelitian. Aku pernah dimarahi oleh seorang pelajar Master akibat kecuaianku membuat kajian yang mengakibatkan sampel beliau terpaksa dibuat semula. Namun itu tidak membuatkan aku takut mahupun patah semangat untuk meneruskan kajian sehingga mendapat keputusan yang membanggakan.

Langit tidak selalu cerah. Walaupun aku dapat melanjutkan pelajaran ke universiti, namun peluang pekerjaan selalu tidak menyebelahi aku. Tawaran pekerjaan pertama yang aku terima selepas bekerja  secara sambilan adalah sebagai seorang Pembantu Tadbir@kerani di sebuah IPTA pada tahun 2004. Seorang graduan bekerja sebagai kerani??Aku sahut cabaran itu walaupun air mata ini selalu mengalir melihatkan kejayaan rakan-rakan lain yang berjaya menjawat jawatan setanding dengan kelulusan mereka. Ditambah pula dengan sindiran nakal saudara mara yang anak-anak mereka sudah berjaya mendapatkan pekerjaan yang baik. Akhirnya aku berjaya mendapat Anugerah Khidmat Cemerlang pada tahun 2008 berdasarkan prestasi cemerlang tahun 2007. Aku sangat bersyukur atas kurniaan Allah kepada diri ini. Walaupun tidak sehebat orang lain tetapi aku berjaya membuktikan aku mampu melakukan apa sahaja pekerjaan sehingga berjaya!

Kekurangan diri tidak sesekali aku jadikan penyebab untuk aku terus berada di takuk lama. Selepas 4 tahun bekerja sebagai kerani, aku memberanikan diri mencari peluang pekerjaan lain. Aku tekad berhenti kerja dan meningkatkan usaha untuk mencapai matlamat aku. Kehidupan tidak harus berhenti setakat itu sahaja. Aku perlu berani keluar dari kepompong untuk terbang ke arah yang lebih baik.

Berkat doa dan semangat untuk berjaya, aku diterima bekerja sebagai guru sandaran. Walaupun sementara, namun aku berjaya membuktikan aku mampu untuk mencapai sesuatu yang lebih baik untuk kehidupan aku. Hasilnya aku mampu memberikan wang bulanan buat kedua ibu bapaku selain menunaikan tanggungjawab membayar hutang PTPTN, membeli laptop dan juga sebiji motor.

Sememangnya hidup berani untuk gagal harus dijadikan pendorong kepada kita untuk mencapai kehidupan yang lebih baik. Kegagalan bukan bererti kita harus tersungkur tanpa bangkit kembali. Kita tidak perlu menunggu sehingga datangnya orang lain mengangkat kita dan meletakkan di tempat selamat seterusnya merawat kita!Sebaliknya kita harus bangkit sendiri!Merawat luka sendiri dan berjalan semula dengan sendiri!

Kini hidup aku tidak terhenti di sini. Aku masih berusaha untuk mendapatkan pekerjaan tetap untuk menjamin masa depanku. Kejayaan insan-insan lain adalah antara pendorong usahaku. Aku akan berterusan berusaha. Aku akan sentiasa berani untuk gagal demi mencapai apa yang aku impikan. Semakin banyak pengalaman dalam kehidupan membuatkan aku semakin yakin melangkah ke hadapan. Tidak mempedulikan kata-kata sinis, aku akan terus melangkah dengan yakin!Aku juga percaya Tuhan sentiasa membimbing aku untuk meneruskan kehidupan ini.

Semoga kalian yang membaca entri ini juga sentiasa berusaha ke arah lebih baik. Tidak kira siapa pun kita, kita punya hak untuk berjaya di dunia ini. Selamat Menyambut Tahun Baru 2010!Semoga segala impian menjadi kenyataan!


No comments:

Post a Comment