Pada zaman Nabi s.a.w,ada seorang lelaki miskin,menyarung kain usang,berasal dari keturunan tidak terhormat,tiada harta,tiada rumah...hanya meminum air dari kolam umum yang diambil dengan menggunakan kedua tangannya sebagai gayung,tidur di masjid berbantalkan lengan....Namun begitu dia selalu berzikir kepada Rabbnya, selalu membaca kitab Allah dan selalu berada pada saf paling hadapan dalam solat mahupun dalam peperangan.
Suatu hari dia lalu di hadapan Rasulullah s.a.w,maka baginda memanggilnya:"Wahai Julaibib,mengapa kamu tidak bernikah?"Julaibib menjawab:"Wahai Rasulullah,siapakah yang mahu menikahkan (puterinya) dengan aku?Aku tidak mempunyai kedudukan dan tidak pula berharta."
Beberapa hari kemudian Rasulullah s.a.w bertemu dengannya,baginda bertanya soalan yang sama dan Julaibib pun memberi jawapan yang sama.Begitu juga untuk pertanyaan Rasulullah pada kali yang ketiga. Maka bersabdalah Rasulullah s.a.w:"Wahai Julaibib,pergilah ke rumah Fulan-Rasulullah menyebut nama orang Ansar-lalu katakan padanya:"Rasulullah s.a.w. menyampaikan salam untukmu dan memintamu mengahwinkanku dengan anak perempuanmu."
Orang Ansar itu merupakan keluarga terhormat.Julaibib pun pergi menemui orang Ansar itu serta menyampaikan apa yang dipesan oleh Rasulullah s.a.w.Jawab orang Ansar itu:"Tetapi bagaimana boleh aku mengahwinkan anakku denganmu yang tidak mempunyai kedudukan dan harta benda?"Pada saat itu,isteri orang Ansar itu juga kehairanan dengan pesan Rasulullah s.a.w itu.Dari dalam rumah,puteri orang Ansar itu yang mukminah berkata kepada orang tuanya:"Apakah kalian menolak permintaan Rasulullah s.a.w?Tidak,demi Zat yang jiwaku berada di tanganNya".
Maka terjadilah pernikahan yang penuh barakah dan seterusnya rumahtangga yang baik berdasarkan ketakwaan kepada Allah.Beberapa waktu kemudian,datanglah seruan jihad.Julaibib pun ikut serta berperang.Dengan tangannya telah terbunuh 7 orang musuh.Namun dia sendiri terbunuh.
Ketika Rasulullah s.a.w memeriksa korban dalam perang itu,tiada nama Julaibib disebut sebagai mati syahid oleh para sahabat baginda.Namun Rasulullah s.a.w ingat akan Julaibib dan baginda menyergah:"Tetapi kini aku kehilangan Julaibib!"
Rasulullah s.a.w mendapati jasad Julaibib penuh dengan debu lalu baginda mengusap debu itu seraya berkata:"Engkau telah membunuh 7 orang,lalu engkau sendiri terbunuh.Engkau sebahagian dariku dan aku sebahagian darimu. Engkau sebahagian dariku dan aku sebahagian darimu.Engkau sebahagian dariku dan aku sebahagian darimu."Cukuplah bagi Julaibib dengan penghargaan nabawi ini sebagai hadiah,kehormatan dan anugerah.
Sebenarnya nilai Julaibib adalah keimanannya,kecintaan Rasulullah s.a.w. kepadanya dan prinsip yang dia pegang teguh sampai dia sanggup mati kerananya.Kemiskinannya dan ketidakjelasan jalur keturunannya tidak pernah menjadi penghambat untuk memperolehi kedudukan yang mulia dan besar.Dia telah mencapai cita-citanya untuk mati syahid,mendapatkan keredaan,diterima oleh masyarakat dan mendapat kebahagiaan dunia dan akhirat.
Sesungguhnya nilai diri itu terletak pada keluhuran budi pekerti dan kemuliaan sifat-sifat anda.Berbahagialah orang yang mengetahui harga dirinya,berbahagialah orang yang telah membuat jiwanya bahagia dan beroleh kemenangan di dunia dan akhirat.
Wallahualam....
Sumber: Buku La Tahzan:Jangan Bersedih-Dr. Aidh Bin Abdullah Al-Qarni
No comments:
Post a Comment