Wednesday, November 21, 2012

Selamatkan Palestine


Assalamualaikum w.b.t


Mengapa Palestine begitu istimewa dan berharga di hati setiap orang Islam?Mengapa kita perlu membantu mereka?Walau kita tak mampu dari segi kekuatan, harta benda dan kuasa...tapi kita masih mampu berdoa, bukan?Sila rujuk khutbah Jumaat di bawah yang telah dikeluarkan pada tahun 2010 oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia...



Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
“SELAMATKAN PALESTIN”
(11 JUN 2010 / 28 JAMADILAKHIR 1431H)
Sidang Jumaat Yang di Rahmati Allah, 
Saya berpesan kepada diri saya dan menyeru kepada sidang jumaat yang dikasihi sekalian, marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa serta melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita mendapat keberkatan hidup di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan memperkatakan khutbah bertajuk: SELAMATKAN PALESTIN".


Sidang Jumaat Yang di Rahmati Allah, 

Palestin telah melalui sejarah yang panjang dalam tamadun manusia dan menjadi rebutan kepada tiga agama, iaitu Islam, Kristian dan Yahudi. Namun demikian Palestin mempunyai kedudukan yang istimewa dihati setiap muslim sejak zaman berzaman. Keistimewaan Palestin ialah kerana di dalamnya terdapat masjid al-Aqsa. Masjid ini mempunyai lima keistimewaan iaitu, pertama : menjadi salah satu daripada tiga masjid paling suci selepas masjidil Haram Mekah dan masjid Nabawi Madinah, kedua: kiblat pertama umat Islam, ketiga: masjid yang kedua dibina atas muka bumi selepas 40 tahun pembinaan masjidil Haram, keempat: tempat berlakunya Isra’ Mikraj dan kelimanya: masjid al-Aqsa menjadi harta waqaf umat Islam sepanjang zaman.


Kezaliman yang dilakukan oleh rejim Zionis kepada rakyat Palestin bermula dalam tahun 1948 apabila wujudnya negara haram Israel dibumi Palestin dengan pertolongan negara Barat terutamanya British dan Amerika Syarikat. Apa yang sebenarnya berlaku di Palestin bukanlah isu-isu kemanusiaan semata-mata tetapi lebih daripada itu. Ia melibatkan isu menyayat hati kaum muslimin apabila kezaliman Zionis yang menghina akidah umat Islam, rakyat Palestin diseksa, dizalimi dan dibunuh seperti haiwan dan bangsa Palestin diaibkan, dimalukan secara terbuka kepada masyarakat dunia tanpa mendapat pembelaan sewajarnya. 

Berdasarkan pemerhatian mimbar dan penganalisis politik antarabangsa kerajaan zionis Israel adalah kerajaan yang kebal, berada diatas undang-undang antarabangsa dan boleh bertindak sesuka hati kerana ia dinaungi oleh kuasa barat. Firman Allah SWT dalam surah an-Nisa' ayat 157:


Maksudnya: " Maka dengan sebab mereka mencabuli perjanjian setia mereka dan mereka kufur akan ayat-ayat keterangan Allah dan mereka membunuh Nabi-nabi dengan tiada suatu alasan yang benar dan mereka berkata: hati kami tertutup. Bahkan Allah telah memeterai hati mereka disebabkan kekufuran mereka. Oleh itu mereka tidak beriman kecuali sedikit sahaja diantaranya. "


Sidang Jumaat Yang di Rahmati Allah, 

Sejak penubuhan negara Israel hingga kini iaitu 60 yang lalu, rejim Zionis sedang berusaha keras untuk menghapus bersih bangsa dan tamadun Palestin. Pada tahun 1969 puak Zionis membakar masjid al-Aqsa yang suci. Usaha terus dibuat hingga ke hari ini untuk meruntuhkan masjid dengan beransur-ansur menggali terowong-terowong dibawah masjid al-Aqsa supaya masjid ini runtuh dengan sendirinya. Tapak masjid ini akan digantikan dengan kuil Yahudi Haikal Sulaiman. Pada masa ini masjid ini masih dikepong dan hanya umat Islam yang berumur 45 tahun keatas dibenarkan solat di masjid ini. Di saat ini juga masjid-masjid lain di Palestin telah ditukar menjadi kelab malam, panggung wayang dan kandang-kandang lembu.

Bumi Palestin dinodai. umat Palestin dinafikan haknya. Rakyat Palestin menangis kesedihan kerana mereka yang serba kekurangan dari semua sudut, berlawan dengan sendirian untuk mempertahankan masjid al-Aqsa dan wilayah-wilayah yang ditakluki oleh rejim Zionis. Dalam perkembangan terbaru pula rejim Zionis sedang melakukan kepungan dari darat dan laut di semenanjung Gaza supaya penduduk Gaza mati dalam kelaparan. Sesungguhnya kekejaman Zionis pasti akan berterusan dan tiada penamatnya kecuali rakyat Palestin berlutut kepadanya.
Apa yang memeritkan tatkala masyarakat Islam seluruh dunia menghantar misi bantuan kemanusian melalui darat dan laut kepada rakyat palestin, rejim Zionis menghalang serta melakukan pembunuhan keatas sukarelawan yang terlibat dalam misi kemanusian tersebut. Mimbar merasa kecewa dengan kekejaman yang menimpa kepada usaha misi ini kerana apa yang dilakukan oleh sukarelawan ini merupakan sebahagian daripada usaha dakwah yang merentasi sempadan agama, bangsa dan negara.
Walaupun negara-negara Islam dan Arab yang mempunyai penduduk yang ramai mengelilingi negara Israel tetapi rejim Zionis yang disokong kuat oleh kuasa besar barat agak sukar dikalahkan. Walhal negara Israel adalah kecil dan penduduk yang sedikit. Rejim Zionis berpegang kepada kitab Talmud dalam menghapuskan bangsa Palestin. Manakala pemimpin Arab dan Islam pula tidak merujuk kepada al-Quran menghadapi Zionis. 
Di manakah maruah umat Islam?. Inilah diantara bahaya dan kesannya apabila umat Islam terlalu bergantung, berlutut dan melobi dengan kuasa-kuasa besar dan bukannya kepada Allah SWT. Sikap ini perlu dibebaskan daripada jiwa kita dan kita wajib membantu rakyat Palestin dengan apa jua cara tindakan. Firman Allah SWT dalam surah al-Hujuraat ayat 10:


Maksudnya: “Sebenarnya orang yang beriman itu bersaudara maka damaikanlah di antara dua saudara kamu itu; dan bertakwalah kepada Allah agar kamu beroleh rahmat.”

Bantuan kepada rakyat Palestin boleh dimulakan dengan berdoa kepada Allah SWT sehinggalah memberi tekanan-tekanan yang boleh menyebabkan rejin Yahudi dihalau keluar daripada negara Palestin. Berdasarkan pedoman sejarah Islam, tentera Islam pernah berjaya menewaskan kubu kuat puak Yahudi dalam peperangan Khaibar pada tahun 7 Hijrah. Dalam peperangan itu Rasulullah SAW memimpin tentera Islam seramai 1,400 orang tentera mengepung selama 10 hari. Tentera Islam diketuai Saidina Ali berjaya menewaskan pertahanan Yahudi dan mereka menyerah kalah.

Sidang Jumaat Yang di Rahmati Allah,

Mimbar ingin merumuskan , insaflah dan sedarlah bahawa Umat Islam wajib bersatu padu mempertahankan Islam dan tidak bergantung harap kepada bantuan orang bukan Islam untuk menyelamatkan maruah Islam. Sikap tidak peduli umat Islam tentang persoalan akidah, ibadah, syariat dan akhlak akan menjerumuskan umat Islam dibawah telunjuk Zionis dan pakatan mereka. Pemimpin dunia Islam perlu bangkit dan memberi sokongan kepada segala usaha untuk menyelamatkan saudara seagama demi mempertahankan Islam dan tanah air. 

Mimbar juga mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada sukarelawan kemanusian Gaza samada yang beragama Islam atau bukan Islam atas usaha yang dilakukan dengan mengumpul bantuan dan dana serta sanggup berkorban nyawa, tenaga bagi membantu penderitaan dan menyelamatkan rakyat Palestin. kita berdoa agar mereka diberi kekuatan berpanjangan untuk meneruskan misi kemanusian ini. Sesungguhnya misi ini telah membuka mata masyarakat dunia tentang kekejaman rejim Zionis. 

Mimbar juga menyeru seluruh umat Islam agar menghulurkan segala bentuk bantuan dan menyokong pertubuhan-pertubuhan Islam dalam misi kemanusian Palestin . Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 78:
Maksudnya: " Orang kafir Yahudi dari Bani Israel telah dilaknat (di dalam Zabur dan Injil) melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa Ibni Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan menceroboh. "

No comments:

Post a Comment