Wednesday, April 2, 2014

Hot Balloon Fiesta Putrajaya 2014

Assalamualaikum w.b.t....

Minggu lepas saya pergi ke 6th International Hot Ballon Fiesta kat Putrajaya. Ini kali ke enam pesta hot balloon di adakan. Ia merupakan aktiviti yang disertai oleh 'ballonist' dari pelbagai negara. Saya pergi ke sana dengan cita-cita nak naik belon panas tu dan menikmati pemandangan Putrajaya dari atas........ni angan-angan besar namanya......

Mula-mula pergi pada hari Sabtu.....terlewat sikit....sampai tempat fiesta pukul 8 am lebih...parking penuh ok....ntah bila la diorang tu sampai......ramai gak la orang beratur kat kaunter tiket yang tertera "Tethered hot balloon"......Harga per tiket adalah RM20...dulu2 RM10 kot. Boleh gak beli tiket kalo nak naik helikopter...harganya RM180.

Actually saya dah g survey tempat beli tiket tu pada hari Jumaat...tapi masa saya tengok tu..belon tengah baru nak isi gas.

Hari Sabtu tu hajat nak naik belon panas terbantut. Sebab saya tengok belon tu macam ni.


Nampak tak tali tu? Ya, tethered tu maksudnya terikat.....belon panas terikat. I bajet RM20 tu boleh naik belon then jalan2 pusing Putrajaya.......rupanya naik belon mcm ni jer.....Oh My English....kekekekekekeke...So I tak jadi naik la......tengok je.....

Sesapa yang beli tiket boleh lah naik belon yang diikat ni selama seminit. RM20 per ONE MINUTE okay....Berbaloi takkkk???For me, tak berbaloi lah kan sebab cita2 besar nak pusing2 putrajaya naik belon panas.....tapi untuk the ballonist, kira berbaloi la tu.....ingat senang ke nak naik kan belon?nak isi gas?gas pun bukan murahhhh.....nak demand je korang nih kan?hikhikhik......

Gambar orang2 yang beratur nak naik belon YG KENA IKAT...hikhik

Enjoy other pictures!!

Ade 3 belon yang diikat khusus untuk pembeli tiket. Sorang boleh naik sekali jer tau.

 Ni belon 'BALLONIST' punye....yang masuk pertandingan. Orang biase tak bleh naik kecuali org2 special....hikhik......jauh tau dia terbang...nampak tak belon aiskrim tu??nyummmyyy

Ni pun ballonist punye.....Vrooommm vrooooommmmm.....2 hari saya pergi tak nmpak pun motor ni terbang...

The next event nnti korang jangan tak pergi pulak eh....walopun tak dapat ronda2 Putrajaya naik belon panas, banyak lagi aktiviti menarik yang disediakan. Sesuai sangat untuk riadah satu keluarga.

__________________________________________________________________________________

Cuba baca artikel kat bawah ni....Wartawan best lah citer dia....mentang2 dia dapat naik belon panas!Huh, nyampah!Hehe...Inilah antara org2 special yang saya maksudkan.

Oleh Suliati Asri (MyMetro)
Keterujaan menaiki belon udara panas pertama kalinya dalam hidup adalah satu pengalaman yang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata.
Ia pengalaman menyeronokkan dengan pemandangan mempesona ketika belon udara panas itu terapung di udara.
Namun, penulis tetap gelisah dan gemuruh apatah lagi inilah pengalaman pertama mendapat peluang sempena Fiesta Belon Udara Panas Antarabangsa Putrajaya 2014, baru-baru ini.
Seawal jam 6.30 pagi, penulis bersama rakan media lain berkumpul di zon biru dan ketika itu bermacam-macam perasaan penulis. Gelisah, gerun dan gementar.

Selepas tiket diserahkan, kami melangkah ke lokasi mengikut nombor yang ditetapkan.
Sementara menanti belon kembang sepenuhnya, telefon bimbit di tangan mula merakam gambar dan terus dimuatkan di laman sosial Instagram serta Facebook.

Kira-kira 10 minit kemudian, belon udara panas bernombor 16 sedia untuk dinaiki. Penulis di minta menaiki ‘winker basket’ atau gondola sebagai tempat penumpang.


Sebelum dilepaskan ke udara, Jonas Van Doorsselaere, juruterbang belon Darul Aman yang kami naiki memberikan sedikit taklimat.


“Semasa berada di dalam gondola, jangan panik, jangan lompat dari gondola, kalau mendarat, bengkokkan lutut sedikit, pegang tali yang disediakan dan nikmati penerbangan anda,” katanya.


Di dalam gondola, perasaan takut dan teruja silih berganti. Mahu saja penulis menjerit namun ditahan. 


Jonas yang sudah 10 tahun terbabit dalam dunia belon udara panas ini mula bermain dengan ‘Burners’ untuk menambahkan kepanasan dalam belon sebelum perlahan-lahan gondola itu terapung.


Di ketinggian 100 meter, dada masih turun naik dengan kencang tapi penulis menarik nafas panjang-panjang dan membaca beberapa ayat suci al-Quran.


Alhamdulillah, selepas itu perasaan gementar hilang dan penulis menikmati panorama indah Putrajaya dari udara.


Ketika belon yang dinaiki penulis terapung di udara, belon-belon lainnya masih di bawah.


“Kenapa belon-belon ini belum terbang lagi,” tanya penulis kepada Effendi Norshah, 50, yang turut berada dalam penerbangan penulis.


“Pernah dengar permainan ‘Hare & Hound’ tak?” soal Effendi.


Dengan cepat, penulis menggeleng kepala dan ternyata Effendi memahami jawapan penulis.


“Bagi pengunjung, fiesta belon udara panas ini ibarat satu pertunjukan belon berwarna-warni yang cantik”.


“Namun, bagi juruterbang, ada persaingan atau pertandingan yang dipanggil ‘Rudy’s Trophy’ atau dikenali sebagai Hare & Hound.


“Jadi, selaku belon ‘Hare’ iaitu belon yang kita naiki ini, ia kena mula beberapa minit lebih awal dari belon yang lain,” katanya.


Belon Hare ini untuk mengenal pasti kawasan pendaratan yang sesuai dengan menurunkan penanda untuk rujukan belon lain.


Peranan ‘Hound’ untuk menurunkan penanda paling hampir dengan kawasan sasaran dan mendapat markah tertinggi.


Markah dikumpulkan sepanjang empat hari fiesta itu dan belon yang mendapat skor tertinggi akan menerima Rudy’s Trophy.


“Daripada persaingan inilah kita boleh lihat kecekapan pengiraan matematik serta fizik setiap juruterbang,” kata Effendi yang juga pengadil kepada persaingan antara 17 dari 18 belon udara panas pada fiesta itu.


Sedang Jonas dan Effendi mencari lokasi sesuai meletak penanda, dari kejauhan penulis melihat belon-belon lainnya mula terapung di udara.


Pemandangan saat itu cukup indah dalam formasi yang pelbagai dan langit seperti disimbah pelbagai warna.


Suasana itu sesuai dengan tema Fiesta Belon Udara Panas Antarabangsa Putrajaya 2014 iaitu ‘Mewarnai Langit’.


Belon Superbike diterbangkan Rer Lindstarnd dari United Kingdom antara belon terbesar di dunia mencuri perhatian.


Ia seperti motosikal berkuasa tinggi terbang di udara.


Belon berbentuk kon ais krim diterbangkan oleh Benoit Simeons dari Belgium, hati dipandu oleh Yu-Ju Ha dari Taiwan dan belon ‘Darth Vader’, karakter filem Star Wars, dipandu Benoit Lambert dari Belgium turut menarik perhatian.


Antara negara yang mengambil bahagian ialah Hong Kong, Korea, Sepanyol, Perancis, Australia, United Kingdom dan Vietnam.


Malaysia diwakili belon udara panas dengan slogan ‘Together-gether’ dan penampilan buat kali pertama di Asia, belon UNICEF dengan slogan ‘Flying High For Kids’.


Belon-belon udara panas ini akan terapung di udara sebanyak dua kali sehari iaitu pada jam 7 pagi dan 6 petang.


Untuk sesi pagi, belon-belon udara panas ini hanya boleh terapung sehingga jam 10 pagi kerana udara di dalam belon itu perlu lebih panas daripada udara di luar.


Sebaik penanda diletakkan, belon-belon lain merendahkan belon dan membaling penanda sebelum naik semula ke udara.


Selesai membuat balingan, belon-belon itu termasuk belon penulis mendarat. Effendi, penulis dan Jonas mengeluarkan udara di dalam belon udara panas itu dan melipatnya sebelum pulang ke titik permulaan di zon biru.


Boleh naik helikopter keliling tasik


Fiesta Belon Udara Panas Antarabangsa Putrajaya 2014 yang berlangsung empat hari menyediakan pelbagai aktiviti khusus buat pengunjung.


Antara aktiviti lain yang disediakan termasuk menaiki helikopter pada Sabtu dan Ahad (9 pagi-4 petang) dan belon udara panas bertambat setiap hari (7.30 pagi-10.30 pagi/6.30 petang-9.30 malam) dibawakan oleh Putra Perdana Developement Sdn Bhd. 


Memeriahkan lagi fiesta ini, Zon Ekstrem Mountain Dew menyediakan pelbagai aktiviti bagi mereka yang meminati aktiviti lasak iaitu Wall Climbing, Water Zorbing dan Bumper Orb.


Aktiviti terbaru iaitu Picnic Area yang membolehkan pengunjung membuat tempahan set ‘Balloon & Breakfast’ sambil menikmati pemandangan belon udara yang mempesonakan terbang di udara. 


Samsung Malaysia Electronics menambahkan kemeriahan dengan penganjuran Pertandingan Fotografi untuk peminat foto termasuk hadiah bernilai RM10,000.


Fiesta kali ini turut memberi peluang pengunjung menimba ilmu mengenai belon udara panas dengan lebih mendalam menerusi sesi ‘Meet & Greet’.


Menerusi segmen itu, juruterbang belon udara panas yang mengambil bahagian kali ini akan berkongsi pengalaman pengembaraan mereka.


Atas permintaan ramai, acara hebat ‘Night Glow’ di mana belon udara panas dan lampu strob dinyalakan serentak diiringi muzik popular turut diteruskan seperti mana tahun sebelumnya.


Acara ini mewujudkan suasana indah sebelum kemuncak persembahan bunga api.


Buat pertama kali, acara ‘Night Glow’ akan dihiasi dengan acara pembukaan dari ‘Sith Academy’ yang dipilih oleh 501st Legion, Kelab Peminat Star Wars di Malaysia sempena kehadiran buat kali ke-3 Belon Darth Vader. 


Sementara itu, Pengerusi Fiesta Belon Udara Panas Antarabangsa Putrajaya 2014, Mohammad Sobri Saad gembira kerana sekali lagi menjadi tuan rumah acara gilang gemilang itu.


Pihaknya berbangga dapat menawarkan peluang bagi organisasi menampilkan nama mereka ke peringkat antarabangsa melalui acara itu.


“Kami percaya acara-acara tempatan seperti fiesta ini menampilkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang tampil lebih di Asia Tenggara,” katanya.


Fiesta Belon Udara Panas Antarabangsa Putrajaya 2014 dianjurkan bersama AKA Balloon Sdn Bhd, Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Majlis Sukan Udara Malaysia (MSAF) yang berlangsung di Monumen Alaf Baru, Putrajaya.


Acara ini juga adalah salah satu daripada 88 acara yang disenaraikan di dalam Kalendar Acara 2014 Perbadanan Putrajaya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/03

No comments:

Post a Comment